Redha Dengan Ketentuan Tuhanmu
YAKINILAH BAHAWA ALLAH TUHAN YANG ESA… ‘La ila ha illallah’, sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah. Wahai diriku, fahamilah hanya Allah sahajalah Tuhan yang berhak ke atas semua pengabdian, hanya Dialah Tuhan tempat engkau dan semua makhluk berserah dan menggantungkan segala harapanmu. Dialah yang menentukan semua apa yang berlaku dan apa yang akan berlaku, samada perkara baik atau sebaliknya. Semua makhluk, dunia dan akhirat termasuk syurga dan neraka berada di dalam genggaman Allah dan berada di bawah pentadbiranNya. Dia berkuasa mengurus, mentadbir dan mencukupkan semua keperluan dirimu. Dialah Tuhan yang mengadakan keperluanmu sebelum dirimu sendiri menyedari yang engkau memerlukannya. Dialah Tuhan yang menyediakan keperluanmu sebelum engkau sendiri meminta dan memohon kepadaNya, semuanya telah disediakan untukmu. Segala rahmat dan kebaikan adalah semata-mata dari kurniaNya. Dia berhak melakukan apa sahaja terhadap makhlukNya dan Dia tidak akan dipersoalkan tentang apa yang dilakukanNya, tetapi dirimulah yang akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di hari pengadilan kelak. Sedarilah, hanya Allah sahajalah tempat engkau menyerahkan nasibmu, Tuhan yang memiliki segalanya.
YAKINILAH BAHAWA ALLAH TUHAN YANG ESA… Allah Tuhan yang Maha Esa. Wahai diriku, segala sesuatu adalah kepunyaan Allah semata-mata. Langit dan bumi, dunia dan akhirat, zahir, batin dan seluruh alam ghaib kepunyaan Allah. Termasuklah dirimu sendiri juga adalah kepunyaan Allah. Seluruh syurga dan neraka semuanya adalah makhluk Allah. Mengikut sains, matahari dan planet-planet dikira sebagai satu sistem suria. Setiap satu bintang di langit membentuk satu sistem surianya sendiri. Tidakkah dapat kita merasakan kebesaran kekuasaan Allah, keagungan pemerintahanNya sebagai Tuhan yang menguasai setiap sesuatu. Mengapakah kita masih merasa gentar kepada musuh-musuh, kepada semua orang-orang kafir dan orang-orang yang zalim? Mereka semua adalah hamba Allah, mereka juga berada di dalam genggamanNya. Engkau merasa kagum dengan kekuatan ketenteraan musuh, merasa takut menghadapi kekuasaan dan kezaliman mereka. Ketahuilah, semua itu terlalu kerdil, kecil dan hina dibandingkan dengan kekuasaan Tuhanmu. Kekuasan Tuhanmu dan pentadbiranNya meliputi segalanya, Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Agung. Sedarilah, hanya Allah yang menguasai segala sesuatu, Dialah Tuhan yang maha berkuasa.
REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU.. Ketahuilah setiap sesuatu di dalam pemerhatian dan pengawasan Tuhanmu. Wahai diriku, ketahuilah bahawa semua perkara yang berlaku kepadamu berada di dalam pengetahuan Allah. Semuanya di dalam pemerhatian dan pengawasanNya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang engkau alami. Dia amat mengetahui segala yang menimpa dirimu. Allah mengetahui penderitaan hambaNya. Engkau ditimpa susah dan sakit. Engkau menderita dan engkau sabar di dalam menanggung penderitaanmu itu. Kesabaranmu itu tidaklah sia-sia kerana ianya dinilai tinggi oleh Tuhanmu. Sebenarnya seluruh manusia tidak akan mampu untuk menolongmu, malah dirimu sendiri pun tidak akan berupaya untuk menolongmu kecuali apa yang diizinkan oleh Allah sahaja. Hanya kepada Tuhanmu sajalah tempat untuk engkau mengadu dan memohon. Redhalah dengan ketentuanNya. Sedarilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang engkau alami dan engkau sentiasa berada di dalam pengawasanNya dan sesungguhnya engkau berada di sini hanyalah untuk diuji.
REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU.. Hendaklah engkau redha bahawa Allah adalah Tuhanmu dan redha juga dengan segala ketentuanNya. Wahai diriku, ketahuilah bahawa segala sesuatu itu berlaku dengan Iradat Allah. Tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku jika bukan dengan kehendak Allah. Tidak ada sesuatu yang bergerak dan tidak ada yang diam melainkan semuanya dengan kehendak Allah jua. Tidak ada sesuatu yang berlaku pada dirimu di luar pengetahuan Allah. Tidak ada satu pun yang berlaku pada dirimu itu berlaku dengan sendirinya, itu adalah kehendak Tuhanmu. Sesiapa pun tidak akan mampu untuk menolak kehendak Allah. Semua perkara berlaku dengan Kudrat dan Iradat Ilahi. Terimalah dengan hati terbuka, berusahalah dan teruslah bertawakkal kepadaNya. Redhalah dengan ketentuan Tuhan. Ketahui jugalah, Tuhan yang menimpakan ujian yang kau rasakan berat kepadamu itu adalah Tuhan yang sama yang memberi kemewahan dan rezeki kepada musuhmu, yang pada pandanganmu seorang yang ingkar. Adakah engkau redha dengan ketentuanNya? Atau adakah engkau merasakan perlu mencari Tuhan yang lain selain Dia. Pada pandangan Allah, dunia dan segala isinya ini tidaklah lebih berharga berbanding sehelai sayap nyamuk. Ketahuilah, pemberian kemewahan dunia kepada hambaNya itu bukanlah bermakna keredhaan dari Allah. Sedarilah, hanya Allah Tuhan yang esa, tidak ada Tuhan selainNya. Oleh itu redhalah Dia sebagai Tuhanmu. Sebagaimana engkau rela menerima Allah sebagai Tuhanmu maka redhalah di dalam menerima ketentuanNya.
REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU …. ‘Tidak ada daya dan upaya pada seluruh makhluk melainkan dengan izin dari Allah jua’. Wahai diriku, ketahuilah tidak ada yang akan terlepas dari kehendak Allah dan tidak ada yang dapat menahan ketentuanNya. Engkau harus berusaha dengan segala upayamu. Setelah itu bertawakkal dan berserahlah kepadaNya dengan kesabaran. Ketahuilah, engkau hanyalah seorang yang lemah tidak berupaya kecuali dengan izin dari Tuhanmu, engkau hanyalah seorang hamba Allah. Segala apa yang ditakdirkan Allah pasti berlaku. Sebagai seorang yang beriman, apakah engkau berpendapat bahawa jika tidak berlaku peperangan Iraq, Presiden Saddam Hussein masih hidup dan masih berkuasa? Tidak, ketentuan Allah telah ditetapkan sejak azali. Umur dan rezeki manusia telah ditentukan. Sedarilah, usaha itu perlu kerana takdirmu di masa depan belum engkau ketahui tetapi engkau wajib redha menerima keputusan setelah ianya berlaku kerana itu adalah ketentuan dari Tuhanmu.
REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU …. Wahai diriku, ketahuilah engkau di sini untuk diuji. Tidak ada orang terdahulu yang tidak diuji. Empat khalifah pertama meninggal dibunuh dan diracun. Empat imam mazhab semuanya mendapat siksaan hebat dari pemerintah atau dipenjarakan. Oleh itu terimalah ujian Tuhanmu kerana itulah tujuan engkau berada di sini.
..............................
Bicara Hati Dari Rakan Usrah