Amaran Tentang Azab Allah Semasa Di Dunia keatas kaum Nabi Nuh a.s
Di dalam Al-Quran banyak memaparkan perihal azab seksa yang Allah timpakan kepada umat-umat terdahulu semasa di dunia lagi,seperti hukuman yang dikenakan kepada kaum Nabi Nuh,Kaum Ad,Thamud dan Firaun.
Firman Allah S.W.T,
أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ ﴿١٦﴾
أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ۖ فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ ﴿١٧﴾
Maksudnya:
" Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?"
( QS. 67 : 16-17 )
Ungkapan “مَنْ فِي السَّمَاءِ " ( siapa 'Tuhan' yang di langit ) bukanlah bermaksud Allah mempunyai tempat-Nya di langit,tetapi ia bermaksud kekuasaan-Nya yang tinggi dan kekuatan-Nya yang mutlak dan tidak dapat di atasi oleh kuasa makhluk.( Rujuk : Abdul Hayie Abdul Sukor.Tafsir Pedoman Muttaqin,juzuk 29,hlm 50.Utusan Publication&Distributors Sdn.Bhd 2005 )
Al-Qurtubi setelah menukilkan berbagai pendapat tentang maksud ayat tersebut beliau mengatakan : Aku berpendapat ayat tersebut bermaksud “ adakah kamu merasa aman dengan Tuhan Yang Menciptakan sesiapa yang di langit…”.Ayat memberikan peringatan bahawa manusia tidak boleh merasa dirinya selamat daripada ditimpakan azab Allah.
Azab Allah bukan semata-mata terhad kepada balasan di akhirat sahaja. Malah tidak kurang juga peristiwa-peristiwa yang menunjukkan azab Allah ditimpakan ke atas orang-orang kafir yang menentang seruan para Rasul. Kebiasaannya azab Allah yang ditimpakan ke atas orang kafir semasa di dunia adalah disebabkan penentangan yang mereka lakukan terhadap para Rasul telah sampai ke kemuncaknya. Pada mereka tidak boleh diharapkan lagi untuk beriman.
( Kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu? )
Al-Qurtubi menyebutkan perkataan nadzir dalam ayat ini difahami dengan erti peringatan dan amaran yang Allah berikan. Selain itu ada juga pendapat yang mengatakan perkataan tersebut membawa maksud al-mundzir (iaitu Rasul pembawa peringatan ). Ertinya, kelak orang yang kafir itu akan tahu dan nyata kepada mereka bahawa Rasul pembawa peringatan itu benar-benar menyampaikan berita dari Tuhan Yang Maha Benar. Nanti mereka akan merasai sendiri padah akibat mendustakan Rasul ( Nabi Muhammad S.A.W ) yang diutuskan kepada mereka.
FirmanNya;
وَلَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ ﴿١٨﴾
Maksudnya:
" Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu."
( QS. 67:18 )
Telah menjadi lumrah kepada para Rasul bahawa mereka akan disambut dengan berbagai bentuk penentangan tersebut yang sampai ke tahap mencabar kekuasaan Allah, sehingga akhirnya mereka ditimpakan kebinasaan melalui azab seksa yang diturunkan oleh Allah supaya menjadi peringatan kepada generasi yang datang selepasnya. Justeru,melalui ayat tersebutnya Allah memberikan peringatan tentang azab tersebut serta sambutan yang diberikan oleh orang kafir kepada para Rasul supaya hal yang demikian dapat menambahkan lagi kecekalan Nabi Muhammad s.a.w dalam menyampaikan dakwahnya.
Ada di kalangan mereka yang mencabar dengan bongkaknya supaya diturunkan azab kepada mereka sebagai membuktikan kebenaran seruan para Rasul itu.
Kaum Nabi Nuh a.s pernah mencabar supaya diturunkan azab yang dijanjikan kepada mereka. Mereka sangat yakin bahawa Nabi Nuh a.s hanya membuat dakwaan kosong dan tidak akan mampu untuk membuktikan azab yang dijanjikan itu. Dalam hal ini Allah menceritakan perihal kesombongan dan penentangan mereka yang telah melampaui batas sehingga sanggup mencabar kekuasaan Allah melalui firman-Nya,
قَالُوا يَا نُوحُ قَدْ جَادَلْتَنَا فَأَكْثَرْتَ جِدَالَنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ ﴿٣٢﴾
Maksudnya:
Mereka berkata: "Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar".
( Surah Hud ayat 32 )
Justeru, apakah akibat daripada keberanian tidak bertempat oleh makhluk yang hina dina itu sehingga sanggup mencabar kekuasaan Allah S.W.T.
FirmanNya;
مِمَّا خَطِيئَاتِهِمْ أُغْرِقُوا فَأُدْخِلُوا نَارًا فَلَمْ يَجِدُوا لَهُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْصَارًا ﴿٢٥﴾
Maksudnya:
Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).
( Surah Nuh ayat 25 )